|
CRUISE TASIK PUTRAJAYA MEMINANG PUTERI GUNUNG LEDANG - KUMPULAN
A
Setelah
kejayaan mendaki Gunong Nuang pada bulan pertengahan Mei, 2005, pendakian
diteruskan untuk menakluki Gunong Ledang. Aktiviti dikendalikan sepenuhnya oleh
Kelab Sukan Cruise Tasik Putrajaya yang telah berpecah kepada dua [2] kumpulan
agar operasi pelayaran Cruise Tasik Putrajaya kepada perkhidmatan awam tidak
terjejas langsung.
Kumpulan A yang diketuai oleh saya sendiri turut disertai oleh Hamid, Ramli,
Razlan, Wan, Hamdan, Saiful, Zamri, Jaya dan Shikin [satu-satunya ‘bunga’
dalam kumpulan ini]
Perjalanan bermula pada jam 8.30 pagi Jun, 2006 dengan diiringi doa selamat
daripada Dataran Putrajaya.
Tiga buah kenderaan terus menyusuri Lebuhraya Utara Selatan dan singgah untuk
sarapan di R&R Seremban. Perjalanan diteruskan mengikut susur keluar Tangkak dan
menuju Gunong Ledang Resort, Sagil. Persinggahan di Tangkak untuk mendapat
bekalan-bekalan mentah terakhir untuk makan malam nanti. Tangkak sememangnya
terkenal dengan kain-kain ela dan kain langsir.
Tiba di Gunong Ledang Resort pada jam 1.00 tengahari dan persiapan urusan
pendaftaran dilakukan di Pejabat Rangers sebelum ke Base Camp Kolam Puteri.
Pendakian 584 anak tangga amatlah memenatkan, tambahan pula membawa barangan
perkemahan dan makanan mentah, namun pendakian diteruskan juga berbekalkan
semangat setiakawan sesama sendiri dan selamat sampai di Base Camp pada jam 1.45
tengahari.
Ketibaan kami disambut oleh hujan renyai-renyai dan deruan air terjun yang
seolah-olah menggamit kami.Perancangan agihan tugas terus dilakukan serta merta
dalam pendirian kemah, mencari kayu api dan persiapan memasak. Masing-masing
telah sedia maklum akan tugas setiap individu berbekalkan pengalaman pendakian
Gunong Nuang dahulu.
Masakan pada petang itu merupakan makan tengahari bermenukan ikan pari masak
asam disediakan oleh Chef Razlan. Sedang makanan disiapkan, kebanyakan peserta
terus tidak putus-putus menggunakan setiap masa yang terluang dengan mandi manda
dalam air yang telah sedia maklum sejuknya.
Suasana malam amat sejuk bertemankan bunyian cengkerik dan deruan air terjun
membuat semua kakitangan dibuai mimpi untuk berjumpa tuan puteri pada keesokan
hari.Selesai sudah menunaikan subuh, penyediaan sarapan pagi yang ala kadar
dibekalkan untuk pendakian.
Pendakian pertama bermula agak lewat ke CP 1 akibat salah faham antara Jurupandu
dengan pihak kami, namun itu tidak melemahkan semangat untuk memulakan
pendakian. Terkejut gila kita orang mendengarkan pendakian harian akan memakan
masa lebih kurang 12 jam. Selesai doa selamat oleh Abang Zamri, pendakian
membawa kegemilangan Cruise Tasik Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya diteruskan
juga.
Pendakian kami di pandu oleh Jurupandu Taman Negara Johor, Sham.
Pendakian amat merangsangkan dan berterusan ke CP 5 dan Gua Kambing di CP 6.
Setibanya di Batu Hampar, Wan mengalami kekejangan otot yang menyebabkan
perjalanan terus menjadi perlahan. Berbekalkan kursus yang diberi sejak awal
lagi, Wan diberi rawatan balutan oleh peserta yang lain dan ia mampu untuk terus
sampai ke puncak.Kagum kami pada sepanjang laluan Taman Bonsai yang amat cantik
sekali, Bukit Botak terus menerus menguji kami.
Azan terus dilaungkan oleh Saudara Hamid sebagai menjiwai kebesaran Yang Maha
Besar apabila menjejak kaki ke puncak lebih kurang jam 3.45 petang. Pendakian
turun amat meletihkan memandangkan bekalan makanan amatlah terhad dan kesabaran
kami terus teruji dengan perjalanan Shikin yang banyak memperlahankan penurunan
kami.
Penurunan kami terus teruji memandangkan hari semakin gelap dan tidak
berbekalkan lampu suloh, namun lighter dan handphone menjadi penerang jalan
sehingga ke kaki Gunong Ledang untuk menjamu hidangan burger, durian dan minuman
isotonik. Bayangkan menuruni Ledang hanya dengan punca handphone!!Shikin
merupakan peserta terakhir menjejak kaki pada jam 9.45 malam. Perjalanan kami
diteruskan ke Putrajaya dengan membawa seribu kenangan.
Terima kasih tidak terhingga kepada Jurupandu Sham yang tabah dalam
memperjuangkan tanggungjawabnya menjaga keselamatan kami.
Banyak yang hendak diceritakan pada Kumpulan B nanti pada keesokan harinya kat
Cruise Tasik Putrajaya.
|